top of page

Muzium kami

Our Museums

Muzium Alat Kebesaraan Diraja

Muzium Alat Kebesaran Diraja dirasmikan pada 30 September 1992 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah ibni Al-Mahrum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam, bersempena majlis sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam menaiki takhta.

​

Muzium Maritim

Muzium Maritim Brunei Darussalam terletak di Kota Batu, dan merupakan repositori sejarah maritim yang mengandungi peninggalan artifak dan pertukangan maritim dari berbagai era. Ia dibangunkan di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 dengan peruntukan BND5 juta di atas tanah seluas 3.53 hektar (8.74 ekar).

 

Reka bentuk Bangunan Muzium Maritim Brunei Darussalam adalah berkonsepkan sebuah kapal, dari pandangan depan, bersesuaian dengan penglibatan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat perdagangan yang masyhur pada zaman dahulu.

Muzium Teknologi Melayu

Muzium Teknologi Melayu dibuka rasmi pada 29 Februari 1988 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Muzium ini mempamerkan pelbagai teknologi tradisi yang digunakan oleh penduduk tempatan di Negara Brunei Darussalam. Muzium ini banyak mempamerkan teknologi-teknologi tradisi yang digunakan oleh penduduk di Kampong Ayer dan masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan darat.

Muzium Daerah Belait

Bangunan ini di bina pada tahun 1938, di atas tanah berkeluasan enam ekar, pada mulanya merupakan tempat kediaman bagi Penolong Residen British sebelum dijadikan kediaman rasmi Pegawai Daerah Belait sehingga tahun 1990. Selain daripada tempat kediaman, bangunan ini mempunyai lakaran sejarah yang tersendiri iaitu pernah digunakan sebagai dewan santap semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Daerah Belait bersempena dengan hari keputeraan Baginda.

Konsep seni bina bangunan ini adalah gabungan di antara seni bina Melayu tempatan dengan seni bina kolonial.

Taman Warisan Tasek Merimbun

Tasek Merimbun ialah sebuah taman warisan yang terletak di Daerah Tutong kira kira 70km dari ibu negara, Bandar Seri Begawan. Nama Tasek Merimbun berasal daripada seorang wira dalam cerita lisan puak Dusun yang bernama Imbun. 

 

Tasek Merimbun terbahagi kepada dua buah lekukan yang mempunyai keluasan 100 dan 120 hektar.

 

Tasek Merimbun terkenal dengan air taseknya yang berwarna hitam disebabkan oleh proses semula jadi yang mana tannins meresap dari tumbuh-tumbuhan yang terjatuh ke dalam tasik.

 

Keseluruhan Taman Warisan Tasek Merimbun mempunyai keluasan sejumlah 7800 hektar.

Kepelbagaian hutan di Tasek Merimbun meliputi Hutan Campuran Kaum Damar, Hutan Paya Gambut, Hutan Paya Air Tawar dan Hutan Sekunder.

 

Spesimen hidup Kelawar Buah Kalung Putih (Megaerops wetmorei) telah ditemui sewaktu kajian di lapangan dijalankan pada tahun 1983 – 84.

 

Tasek Merimbun merupakan Taman Warisan ASEAN yang terunggul di Negara Brunei Darussalam sejak 29 November 1984.

 

Salah satu keistimewaan yang terdapat di Taman Warisan   Tasek Merimbun ialah pelbagai spesies burung yang menghuni persekitaran tasik dan habitat semula jadinya seperti burung raja udang, likap, kenawai dan helang.

Taman Arkeologi Kota Batu

Terletak di Jalan Sultan Bolkiah, Kampung Kota Batu, kira-kira 5km dari Bandar Seri Begawan, Taman Arkeologi Kota Batu ialah tapak yang pertama diwartakan dibawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam, tahun 1967, Edisi Semakan 1984, 1991, 2002 dan merupakan tapak arkeologi terpenting di Negara ini. 

 

Dipercayai sebagai tapak Ibu Kota Brunei Tua antara abad ke 14-17 masihi, Kota Batu juga berperanan sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan dan pusat pemukiman utama Brunei pada ketika itu. 

 

Taman ini juga signifikan dalam penyelidikan fauna dan flora. Kajian ethno-arkeologi juga dilakukan terhadap sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan di tapak ini dan menunjukkan kepakaran penduduk di zaman dahulu menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai bahan untuk seni bina, perusahaan, perubatan dan permakanan.

 

Kemudahan yang disediakan di Taman Arkeologi Kota Batu ini ialah; pejalan kaki sepanjang 1,580 meter, pondok-pondok rehat, jambatan penghubung ke Pulau Terindak dan kemudahan-kemudahan asas iaitu tempat berehat, tandas awam dan tempat letak kereta awam.

WhatsApp%20Image%202020-04-13%20at%209.4

Monumen-Monumen

Jabatan Muzium-Muzium melalui Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam  telah mewartakan sebanyak 27 monumen dan bangunan-bangunan bersejarah yang terdiri daripada 12 buah monumen bersejarah, 12 makam-makam Sultan dan 3 buah tapak arkeologi di seluruh negara. Sejumlah 21 buah tapak dan monumen bersejarah ini terletak di Daerah Brunei dan Muara, 2 buah di Daerah Tutong, 2 buah di Daerah Belait dan 2 buah lagi di Daerah Temburong.

IMG_20200408_144238_edited.jpg

Arkib Negara Brunei Darussalam

Arkib Negara Brunei Darussalam ditubuhkan pada tahun 1977 dibawah pengurusan Jabatan Muzium-Muzium. Penubuhannya adalah bagi menguatkuasakan Akta Arkib Negara Brunei Darussalam, 1975, Penggal 116 (Edisi Semakan 1983). Peranan Arkib Negara adalah dalam menerima, menyimpan dan memelihara rekod awam berbentuk sumber prima seperti fail-fail kerajaan, gambar, manuskrip dan sebagainya secara kekal dan seterusnya menyediakan kemudahan akses dan penyelidikan.

 

Misi Arkib Negara adalah ‘Menjadi pusat sumber maklumat dan sumber penyelidikan negara dalam mengumpul, mengenalpasti dan memelihara rekod-rekod kerajaan dan awam yang mengandungi nilai-nilai sejarah dan kenegaraan sebagai ristaan generasi dan warga Negara Brunei Darussalam’.

 

Bangunan Arkib Negara yang terletak di Jalan Dewan Majlis telah dirasmikan pada tahun 1997. Perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan termasuk khidmat nasihat pengurusan rekod, khidmat pandu cari bahan arkib, khidmat rujukan bagi penyelidikan rekod awam dan khidmat penyalinan semula rekod awam.

 

Antara koleksi bahan arkib termasuk:

  • Fail-fail Kerajaan.

  • Manuskrip

  • Gambar

  • Bahan Kartografi

  • Bahan Audio Visual

Galeri Sukan

Galeri Sukan Negara Brunei Darussalam yang terletak di Stadium Negara Hassanal Bolkiah telah dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri pada 7 April 2014.

​

Galeri ini mempamerkan perkembangan sukan di negara ini dan memberikan penghargaan serta pengiktirafan kepada tokoh-tokoh dan ahli-ahli sukan yang telah mengharumkan nama negara pada kejohanan sukan serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, Kejohanan Bolasepak Piala Malaysia, Kejohanan Bolasepak Liga Singapura, Kejohanan Bolasepak Piala Hassanal Bolkiah bagi Belia ASEAN dan Sukan Para yang melibatkan atlet-atlet yang berkeperluan khas. Turut dipamerkan ialah piala, pingat, cenderamata, peralatan sukan dan gambar-gambar kenangan para atlet negara.

bottom of page